Custom Search

Sabtu, 28 Mac 2009

Sesuaikah Perisian Sumber Terbuka untuk Pengguna Biasa?

Assalamualaikum dan Salam sejahtera semua,

Hari ini, saya bersembang dengan seorang sahabat saya yang merupakan peminat tegar (hardcore fan) Microsoft. Beliau mengemukakan beberapa hujah untuk
mempertahankan pendapat beliau yang Linux kurang sesuai untuk pengguna biasa. Antara hujah-hujah beliau ialah:

- Sistem Operasi Windows telah siap sedia dengan pembelian komputer baru (OEM).

- Tidak ramai vendor yang menyokong Linux.

- Linux tak boleh berdaya saing kerana ianya percuma.

- Pergantungan kepada syarikat monopoli tidak menyusahkan pengguna.

- Produk no 1 akan menjadi sasaran utama serangan siber. Kalau linux menjadi no 1, penulis virus akan menjadikan Linux sebagai sasaran baru.

Sebelum saya mulakan untuk memberi sanggahan kepada pendapat beliau ini, saya ingin tegaskan bahawa saya bukan ingin memaksa mana-mana pihak untuk bertukar
kepada Linux, tetapi sekadar memberi sedikit galakan dan sokongan kepada mereka yang mahu berhijrah.

Sistem Operasi Windows telah siap sedia dengan pembelian komputer baru (OEM)

Kita tidak boleh nafikan bahawa kebanyakan komputer di pasaran telah dipasang sistem operasi Windows. Linux kurang promosi berbanding dengan Windows. Kita sejak kecil, didedahkan dengan Windows. Cuba kalau kita didedahkan dengan Linux semasa kecil lagi, sudah tentu kita akan lebih cenderung kepada Linux.

Semakin ramai vendor komputer riba membekalkan komputer riba dengan Linux OS walaupun bukan yang mesra pengguna. Saya sendiri tidak faham kenapa mereka sukar untuk bekerjasama dengan Canonical untuk siap sediakan komputer riba keluaran mereka dengan Ubuntu.

Tidak ramai vendor yang menyokong Linux

IBM dan Sun antara syarikat yang menyokong Linux kerana mereka menjadikan Linux sebagai sistem operasi pada sistem pelayan mereka. Namun begitu, terdapat sambutan yang menggalakkan dari syarikat-syarikat dan badan korporat yang menggunakan Linux untuk menjimatkan kos operasi dalam keadaan ekonomi global ketika ini.

Linux tak boleh berdaya saing kerana ianya percuma

Memang Linux percuma. Sebagai contoh, Ubuntu dan Sabily(Ubuntu Muslim Edition). Pada pendapat saya, Linux kurang promosi. Sahabat saya juga mengakui pendapat ini dan merasakan Linux rugi kerana diberikan secara percuma.

Mungkin nampak macam syarikat di sebalik tabir Ubuntu ini rugi, namun begitu, ada peluang perniagaan yang tidak ramai yang nampak. Perniagaan khidmat sokongan (support). Syarikat - syarikat yang mempromosikan Ubuntu menggunakan perkhidmatan kepada pengguna Ubuntu sebagai sumber mata pencarian. Walaupun Windows mempunyai pelbagai masalah, terdapat banyak kedai komputer yang mahir menyelenggara komputer yang menggunakan Windows.

Banyak peluang perniagaan dalam komuniti sumber terbuka. Kafe siber menggunakan Ubuntu dan OpenOffice.org menjimatkan kos penyelenggaraan kerana tiada masalah virus dan menyokong format dokumen Microsoft. Kita juga boleh membuka kelas untuk belajar Linux, membina laman web dengan Joomla, PHP dan MySQL, grafik dengan GIMP, urusan pentadbiran dengan OpenOffice.org, kelas multimedia dengan Blender, Kino, Cinelerra dan lain-lain. Kalau dapat masuk tender untuk memasang dan menyelenggara sistem komputer sumber terbuka badan-badan kerajaan dan swasta apatah lagi, perniagaan yang menguntungkan.

Pergantungan kepada syarikat monopoli tidak menyusahkan pengguna.

Pakatan industri hardware dengan Microsoft bukan lagi rahsia. Kalau pengguna tidak perlukan hardware berkuasa tinggi untuk sistem operasi mereka, buat apa mereka beli pc baru? Dengan sumber terbuka, kuasa kembali ke tangan pengguna dan bukan lagi golongan yang menangguk di air keruh.

Produk no 1 akan menjadi sasaran utama serangan siber. Kalau linux menjadi no 1, penulis virus akan menjadikan Linux sebagai sasaran baru.


Apache adalah perisian web server yang popular tetapi statistik menunjukkan IIS lebih banyak diserang. Kenapa? Sebab kelemahan yang wujud dalam IIS hanya boleh ditampal oleh Microsoft dan tidak seperti Apache dimana pepijatnya boleh dihapuskan oleh sesiapa sahaja yang ada kemahiran dalam pengaturcaraan.

Kesimpulannya, perisian terbuka memang sesuai kepada semua termasuk pengguna biasa. Promosi terhadap perisian sumber terbuka haruslah dipergiat agar pengguna dapat merasai kebebasan terhadap penggunaan sistem operasi dan perisian mereka.

Selasa, 17 Mac 2009

NetworkManager - Kejap Ada, Kejap Tak Ada

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua,

Hari ini saya ingin memberitahu anda semua bagaimana untuk menyelesaikan masalah NetworkManager yg kadangkala sering tiba-tiba jadi macam biskut, kejap ada dan kejap tak ada.

Sila ikuti langkah-langkah berikut:

Klik Kanan di desktop dan klik Create Launcher...


Isikan tempat kosong seperti di dalam gambar.

Command : nm-applet --sm-disable
Name: Tak kisah apa pun.

Ikon Launcher NetworkManager ini akan terpampang di desktop. Klik dua kali pada ikon tersebut sekiranya ikon NetworManager tiba-tiba hilang dari panel.

Sabtu, 7 Mac 2009

Bagaimana hendak mematikan fungsi WebStrict Di Sabily?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Kali ini saya kongsikan serba-sedikit pengalaman saya semasa mula-mula menggunakan Sabily (dahulu dikenali sebagai Ubuntu Muslim Edition).

Apa itu WebStrict?
Menurut https://launchpad.net/webstrict , WebStrict adalah antaramuka pengguna (user interface) untuk DansGuardian, Perisian tapisan web.

Walau bagaimanapun, anda mungkin seperti saya yang kurang menyukai perisian tapisan ini kerana komputer tidak dikongsi. :)

Jom, kita mula sekarang.

1. Pergi ke System > Administration > Webstrict


2. Klik Stop. Lepas tu klik unlock.


3. Restart firefox jika sedang dijalankan di PC anda.

4.Pergi ke Edit > Preferences.
5. Klik Advanced dan pergi ke tab Network. Klik Settings.
6. Klik butang radio "No Proxy" . Sekarang, DansGuardian tidak lagi mengganggu pelayaran laman sesawang anda. :)
Saya tak kata WebStrict ni tak bagus. Saya cuma tak suka perisian tapisan web sebab saya rasa agak terganggu.

Saya cadangkan WebStrict digunakan di kiosk internet percuma untuk mengelakkan pelanggan download benda yg bukan-bukan dan juga untuk ibubapa dalam menentukan laman sesawang yang perlu untuk anak-anak mereka.

Khamis, 5 Mac 2009

Selamat Datang Ke Blog Sabily untuk Malaysia

Syahadah awal rukun Islam,
Solat pula rukun kedua;
Awal bismillah pemula kalam,
Berkat Selawat pengiring kata.

Datang bertandang saya alukan,
Moga manfaat dikongsi bersama;
Selamat datang saya ucapkan,
Buat peminat sumber terbuka.


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua ke blog Sabily untuk Malaysia. Di sini saya sertakan serba sedikit tujuan saya membina blog ini.

Pertama sekali, saya ingin membantu komuniti sumber terbuka dan yang baharu berjinak-jinak dengan sistem operasi dan perisian sumber terbuka untuk lebih mengenali khususnya Linux Sabily yang dahulunya dikenali sebagai Ubuntu Muslim Edition.

Komuniti Sabily terpaksa menukarkan nama sistem operasi ini kepada Sabily kerana "Ubuntu" merupakan tanda niaga(trademark) Canonical Ltd..

Untuk mereka yang masih tertanya-tanya apakah Ubuntu ini sebenarnya, boleh rujuk di http://ms.wikipedia.org/wiki/Ubuntu

Apakah kelainan Sabily berbanding distro Ubuntu yang asal? Tidak banyak bezanya melainkan add-on Edubuntu, Perisian Islam sumber terbuka, dan rekabentuk(theme) yang bercirikan Islamic di samping perisian-perisian lain yang sesuai untuk pengguna biasa (end-user).

Saya sendiri pun baru sahaja bertukar ke Linux Sabily sepenuhnya sebulan yg lepas :) walaupun saya telah menggunakan Ubuntu dengan dwi-boot selama setahun. Saya bertukar disebabkan perkara yang biasa dialami oleh pengguna sistem operasi Windows iaitu masalah virus, skrin biru BSOD (Blue Screen Of Death), dan prestasi yang hambar.

Maklumat lanjut mengenai Linux Sabily ini boleh dirujuk di http://www.ubuntume.com/website. Terdapat usaha sahabat-sahabat kita di Malaysia terlibat sama menterjemah laman web ini ke Bahasa Melayu.

Sekian sahaja sebagai awalul kalam blog ini. Wassalam.

carian google

Custom Search